Bismillahirrahmanirrahim
Emas sememangnya sinonim dengan masyarakat malaysia. Terdapat berbagai-bagai jenis emas yang ditawarkan di dalam pasaran sama ada emas baru ataupun emas terpakai. Namun, tahukah anda apakah kelebihan beli emas terpakai? Mengapa ia memberikan satu kelebihan dari segi nilai wang anda berbanding membeli emas baru?
Maksud Emas Terpakai
Emas terpakai bermaksud emas yang telah dibentuk, dicair, digunakan bagi sesuatu tujuan tertentu. Di dalam konteks perhiasan barang kemas, emas terpakai merupakan barang kemas yang telah dibeli dan dijual oleh seorang pembeli kepada pembeli yang lain.
Tiga Kelebihan Beli Emas Terpakai.
Secara amnya saya rumuskan terdapat tiga kelebihan beli emas terpakai yang perlu anda tahu.
- Harga Emas Terpakai Lebih Murah
- Emas terpakai biasanya tiada GST
- Mudah untuk dijual beli
Mengapa emas terpakai lebih murah? Ianya adalah disebabkan ketiadaan kos upah yang terlibat untuk membentuk emas tersebut menjadi barang kemas. Oleh itu, dengan ketiadaan kos upah ini, yang mana ianya bergantung kepada corak yang dibuat, secara tidak langsung membuatkan emas terpakai menjadi lebih murah berbanding daripada emas baru. Kos upah inilah yang menjadikan nilai barang kemas itu mahal atau tidak kerana ia adalah suatu bayaran nilai estetika seni yang ada pada emas itu sendiri.
Memandangkan kos upah ini berbeza-beza disebabkan faktor estetika, pengalaman tukang emas serta keunikan reka bentuk barang kemas itu, ia menjadikan agak sukar untuk meletakkan satu harga upah yang standard untuk sesuatu emas yang baru.
Emas terpakai biasanya tiada GST atau sedikit sahaja yang ada GST. Kebanyakan para peniaga emas gemar untuk menggunakan istilah tiada GST dan menyerap sedikit kos cukai tersebut bagi menarik lebih ramai pelanggan. Pelanggan tetap suka kepada benda murah dan diskaun. Oleh itu, agak mudah untuk peniaga emas memberikan diskaun atau potongan harga bagi barangan emas terpakai.
Terakhir, emas terpakai agak mudah untuk dijual beli. Mengapa? Faktor utamanya adalah emas terpakai amat murah berbanding emas baru disebabkan tiada harga kos. Kepada para pelabur emas, sekaligus teringin untuk memakai barangan kemas bagi wanita, disarankan untuk membeli emas terpakai. Bayangkan anda dapat memiliki 5 gram emas pada harga yang lebih murah untuk emas terpakai berbanding 5 gram emas baru yang harganya lebih mahal.
Keburukan Membeli Emas Terpakai
Keburukan yang dihadapi oleh pembeli yang pertamanya adalah penipuan jumlah gram emas. Sebagai contoh, semasa jualan, sebuah barang kemas mempunyai nilai 5 gram emas. Namun disebabkan kecuaian yang dilakukan oleh peniaga semasa melakukan cucian, emas tersebut terkikis dan menjadikan emas tersebut mempunyai 4 gram. Disinilah penipuan akan dilakukan oleh para peniaga dan disarankan untuk anda mempunyai alat penimbang emas bersaiz poket untuk melakukan cross check bersama peniaga.
Kedua, emas terpakai biasanya mempunyai design lama dan agak kusam sedikit sinarnya. Namun ia tidak menjadi masalah kerana emas tetap emas dan orang sentiasa suka kepada emas.
Oleh itu, sekiranya anda ingin menjadi pemakai emas dan dalam masa yang sama menjadi pelabur emas, membeli emas terpakai adalah satu tindakan yang sangat bijak. Sekian terima kasih.