Bismillahirrahmanirrahiim
Dewasa ini, kita telah disajikan dengan pelbagai jenis pelaburan yang ada. Kebanyakan pelaburan yang bersifat tradisional juga kini telah didigitalkan dan memberikan akses yang lebih mudah kepada pelabur. Simpanan pula sudah tidak asing lagi dengan masyarakat kita dengan adanya peribahasa sikit-sikit lama lama jadi bukit. Artikel kali ini akan menerangkan tentang perbezaan simpanan dan pelaburan.
Definisi Simpanan dan Pelaburan
Simpanan merujuk kepada aktiviti mengekalkan sesuatu aset tanpa apa-apa keuntungan. Contohnya, jika anda menyimpan di dalam tabung sebanyak RM 1,000, jumlah tersebut akan tetapn kekal kerana ia tidak digunakan bagi apa-apa aktiviti yang mendatangkan pulangan. Pelaburan pula merujuk kepada aktiviti menyimpan sesuatu aset bagi mendapatkan keuntungan dalam jangka panjang.
Contohnya, anda mempunyai wang sebanyak RM 10,000. Anda bercadang untuk laburkan ia kedalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan jumlah purata pulangan sebanyak 5% setahun. Setelah genap setahun, pelaburan tersebut telah membuahkan hasil sebanyak RM 500 dan anda boleh gunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi.
Perbezaan Simpanan dan Pelaburan
Pertama, kebanyakan orang menyimpan adalah lebih kepada urusan seharian ataupun kegunaan jangka pendek. Contohnya, En Ali menyimpan sebanyak RM 50 pada bulan ini kerana ia ingin gunakan wang tersebut bagi tujuan bayaran yuran PIBG tahunan sekolah anaknya yang akan diminta pada bulan depan. Pelaburan pula lebih kepada menyimpan lebihan contohnya seperti En Ali sebanyak RM 50 kedalam mana-mana institusi pelaburan pada jangka masa yang panjang.
Kedua, kecairan aset tersebut. Simpanan mempunyai kecairan yang sangat tinggi. Jika anda deposit wang anda sebanyak RM 100 kedalam bank, selepas beberapa jam, anda boleh keluarkan semula wang tersebut pada jumlah yang sama. Berbeza dengan pelaburan, jika anda melabur dalam Unit Trust contohnya, anda harus menunggu sehingga maksimum 10 hari untuk mendapatkan semula wang pelaburan anda. Kecairan dalam pelaburan bergantung kepada instrumen pelaburan tersebut.
Ketiga simpanan mempunyai risiko yang kosong. Cuma hanya berdepan dengan risiko inflasi tahunan dan juga risiko fizikal seperti kebakaran, kecurian atau kehilangan harta benda. Bagi pelaburan pula biasanya mempunyai aras risiko sederhana atau tinggi, bergantung kepada instrument pelaburan itu sendiri. Contohnya, pembelian saham boleh dikategorikan sebagai berisiko tinggi kerana harga yang berubah-ubah setiap hari.
Keempat, simpanan tidak memberikan apa apa pulangan. Simpan RM 100, maka RM 100 jugalah yang anda akan dapat. Berbeza dengan pelaburan, jika anda simpan RM 100, boleh jadi selepas setahun ia boleh berganda menjadi RM 110, ataupun jika tahun itu kurangn memberangsangkan ia mungkin boleh kurang menjadi RM 95.
Terakhir sekali, simpanan dilindungi oleh PIDM. Jika ada apa-apa yang berlaku pada bank tersebut, simpanan anda dilindungi oleh PIDM. Berbeza dengan pelaburan, ia tidak dilindungi oleh PIDM, dan keuntungan serta kerugian yang dialami 100% tanggungjawab pelabur.
Kesimpulan
Saya telah terangkan tentang perbezaan simpanan dan pelaburan. Bagi saya, tiada yang lebih baik atau superior sama ada simpanan atau pelaburan kerana kedua-dua mekanisme ini penting dalam kehidupan seharian kita. Nak bayar sesuatu komitmen yang perlu dilunaskan dalam waktu terdekat, simpan, jika ada lebihan wang yang memang tak digunakan dalam waktu yang panjang, maka melaburlah. Inshaa ALLAH
Sumber : Labur Santai
Baca lagi : Cara Melabur Emas di Malaysia