Bismillahirrahmanirrahiim
Emas dan orang kita memang sangat sinonim. Dari zaman nenek moyang kita lagi, kita sering didedahkan betapa berharganya emas ini yang boleh memberikan pulangan yang berganda pada masa akan datang. Dulu, kita tak ada produk pelaburan yang sistematik seperti sekarang, kebanyakan terhad kepada emas dan juga tanah. Artikel kali ini akan menerangkan tentang cara melabur emas di Malaysia.
Amnya, terdapat tiga cara melabur emas dan saya akan terangkan satu persatu selepas ini.
- Belian Barangan Kemas
- Belian Bar Emas
- Akaun Pelaburan Emas
Belian Barangan Kemas
Cara melabur emas ini agak tidak digalakkan melainkan objektif pembeli emas tersebut adalah untuk memakai barangan kemas itu sendiri dan hanya menjadikan objektif pelaburan sebagai sasaran sekunder. Mereka lebih suka memakai emas dan tidak kisah dengan harga naik turun kerana walaupun harga emas turun, mereka tetap memakai barangan kemas mereka.
Kekurangan utama dalam pelaburan menggunakan barangan kemas adalah nilai spread yang terlampau besar. Kadang ia boleh menjangkau sehingga 30% disebabkan emas tersebut dikira sebagai second hand. Oleh itu, jika seseorang ingin menjual emas dalam keadaan untung, mereka harus menunggu perubahan harga emas yang cukup besar dan mengambil masa yang lama sebelum perkara tersebut berlaku.
Belian Bar Emas
Oleh itu, alternatif kepada mereka yang ingin melabur dengan emas, tetapi mahu memegang emas fizikal itu sendiri dan juga tidak mahu terdedah dengan spread yang besar, maka pembelian bar emas adalah keputusan yang tepat. Pembeli bar emas akan menikmati kadar spread sekitar 10% dan mereka boleh memiliki bar emas mereka melalui syarikat yang menguruskan jualan emas tersebut.
Namun, terdapat banyak syarat yang perlu anda patuhi untuk memastikan anda menikmati kadar spread yang rendah. Contohnya, plastik yang membaluti bar emas anda tidak boleh dibuka dan seharusnya tiada kesan kerosakan fizikal terhadap bar tersebut. Sila rujuk kepada syarikat penjualan emas masing-masing untuk mengetahui syarat-syarat tersebut.
Akaun Pelaburan Emas
Berbeza dengan pembelian bar emas, akaun pelaburan emas secara peribadinya adalah pilihan saya. Anda membeli emas dari syarikat tetapi anda tidak memegang emas tersebut. Syarikat akan pegang emas tersebut bagi pihak anda. Secara tidak langsung emas anda dalam keadaan selamat kerana dijaga dengan rapi dan ia juga mengelakkan dari risiko kecurian ataupun malapetaka seperti kebakaran.
Jika syarikat yang menyimpan bagi pihak anda, kebiasaannya emas tersebut disimpan didalam peti besi dan juga telah diinsuranskan. Seandainya terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini, maka ia dapat melandaikan risiko tersebut melalui insurans.
Kesimpulan
Saya telah menerangkan tentang tiga cara melabur emas di Malaysia. Bermulalah sekarang untuk melabur dalam emas secara Ringgit Cost Averaging. Beli secara berkala setiap bulan seperti 1 gram setiap bulan. Apabila telah mencapai 3-5 tahun, anda pasti boleh melihat hasil pelaburan emas anda sendiri. Inshaa ALLAH. Semoga ALLAH Taala bantu kita semua mencari rezeki yang halal.
Sumber : Labur Santai
Baca Lagi : Penjelasan Tentang Volume Dalam Trading