Bismillah
Hari ini kita akan membincangkan serba sedikit mengenai penipuan jual beli emas yang akan saya terangkan secara online kepada anda semua. Dalam kita ghairah untuk menjadikan emas sebagai aset yang melindungi nilai harta kita, secara tak langsung muncul bermacam macam pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk memanipulasi keghairahan kita sendiri.
Ciri-ciri Penipuan Jual Beli Emas
Terdapat 3 jenis penipuan emas yang nyata iaitu
- Jual Emas, Gadai dan Dapat Dividen
- Jual Sijil Emas Palsu
- Penipuan Emas Palsu
Jual Emas, Gadai dan Dapat Dividen
Modus operandi nya adalah seseorang pelabur akan mengikat janji dengan syarikat bagi membeli emas daripada mereka sendiri. Setelah itu, mereka akan mencadangkan agar pelabur menggadaikan emas tersebut pada Ar Rahnu dan bila dilihat dari mata kasar, ia seolah olah tiada penipuan yang berlaku kerana pelabur sendiri yang pergi ke Ar Rahnu dan memajakkan emas mereka. Selepas itu, duit yang diperolehi daripada gadaian tersebut akan dilaburkan semula kepada syarikat tersebut. Syarikat tersebut akan mula menipu dengan mengatakan modal tersebut akan dinject ke dalam perniagaan perniagaan atau bursa saham. Pada awal permainan, dividen dapat dibayar dengan cantik kerana duit yang diperolehi diberi semula kepada pelabur secara sedikit demi sedikit. Apabila mereka mula percaya maka makin ramai orang yang akan masuk. Sebenarnya modus operandi money game ini tidak pernah lari dan sama sahaja. Cuma mereka akan menggunakan instrumen yang sah seperti perak, emas dan sebagainya untuk menutup penipuan mereka.
Jual Sijil Emas Palsu
Taktik penipuan ini adalah mereka akan mempromosikan sijil emas kepada para pelabur. Sijil yang direka kelihatan terlalu mirip dengan sijil emas yang asli sehinggakan para pelabur biasa tak mampu untuk membezakan antara asli dan tipu. Apa yang membuatkan pelabur tertarik adalah sijil emas tersebut sentiasa dijual pada harga dibawah pasaran. Contoh harga emas semasa adalah RM 150 per gram, penipu tersebut menjual dengan harga RM 100 per gram pada sijil.
Pada peringkat awal tiada masalah yang dialami. Sebagai contoh apabila pelabur menjual semula sijil tersebut, maka mereka akan menerima pembayaran dengan pantas. Apabila sudah ramai yang menyertai skim tersebut, mereka akan mula menunjukkan belang dengan mula membayar secara lambat apabila pelabur menjual sijil emas mereka. Akhirnya mereka lari dan pelabur tidak mendapat apa apa kecuali sekeping sijil yang tiada harga.
Penipuan Emas Palsu
Secara amnya, emas tidak boleh ditiru dan dipalsukan. Namun apa yang dipalsukan adalah berat emas itu sendiri. Cara mereka melakukan penipuan timbangan emas itu adalah dengan menyadurkan lapisan emas yang nipis pada sebuah logam tungsten dan mendakwa bahawa emas ini adalah jenis sekian sekian. Bagi mereka yang tiada atau kurang arif dengan emas, pasti akan tertipu . Biasanya mereka akan menarik perhatian para pembeli dengan harga yang murah dan dibawah harga pasaran.
Alhamdulillah semoga sharing pada kali ini berkaitan dengan emas ini dapat menambah ilmu tuan puan.