Bismillahirrahmanirrahim
Melabur adalah satu aktiviti sihat yang mencambahkan amaun semasa menjadi lebih besar pada satu tempoh masa tertentu. Aktiviti ini juga dilihat sebagai satu jalan alternatif kepada mereka yang ingin mendapatkan duit tambahan selain daripada pekerjaan sebenar mereka. Post kali ini akan menerangkan sebab kenapa perlu melabur pada usia muda.
Kenapa Perlu Melabur
Terdapat banyak sebab yang perlu anda ketahui kenapa anda perlu melabur sekarang. Dibawah saya senaraikan dahulu keperluan pelaburan dan kemudian saya akan terangkan satu persatu
- Kadar Inflasi yang tinggi
- Income Security
- Mengawal Tabiat Perbelanjaan
Ok, yang pertama adalah kadar inflasi yang tinggi. Setiap tahun, purata inflasi di negara Malaysia adalah sekitar 4.4%. Ini bermakna nak tak nak harga barangan akan meningkat setiap tahun menyebabkan kuasa beli anda semakin jatuh. Walaupun ada syarikat yang memberikan kenaikan tahunan, berkemungkinan besar ia tidak dapat mengatasi kadar inflasi yang sedang berlaku. Kita masih lagi bernasib baik kerana kerajaan masih mengambil langkah untuk mengawal harga sesuatu barangan keperluan.
Jadi, dengan anggaran inflasi sebanyakn 4.4%, ia menguatkan lagi sebab kenapa perlu melabur dalam usia muda. Jika anda menyimpan, biasanya bank hanya akan memberikan sebanyak 0.5-1% sahaja keuntungan yang mana ia masih terhakis dengan inflasi. Kalau kita lihat pada produk simpanan tetap, pulangan yang biasa diberikan adalah 2-3% sahaja, masih tidak dapat melawan inflasi. Oleh itu, pelaburan adalah satu cara bagaimana untuk anda mengalahkan inflasi bahkan menambahkan lagi kuasa beli anda. Bagi satu pelaburan unit amanah anda boleh dapat kira-kira 8-15% setahun.
Kedua, pelaburan adalah sebagai income security. Tidak dinafikan, ada orang yang boleh mencapai keuntungan sehingga 100% dalam masa setahun dan ini bukanlah perkara yang mustahil. Bayangkan anda mempunyai modal sebanyak RM 30,000, dan dengan usaha keras anda mempelajari ilmu pelaburan saham, anda berjaya menjadikan modal asal RM 30,000 menjadi RM 60,000. Dengan keuntungan sebanyak itu, anda laburkan modal pokok semula dan gunakan baki sedia ada untuk perbelanjaan setahun. Jika keuntungan sebanyak RM 30,000 dibahagi dengan 12 bulan, maka anda telahpun mempunyai pendapatan sebanyak RM 2,500 sebulan, cukup untuk menampung sebuah keluarga kecil dengan seorang anak.
Sebab terakhir kenapa perlu melabur adalah untuk memupuk tabiat belanja yang baik. Ya, ada antara kita apabila dapat sahaja gaji, terus digunakan untuk hiburan tanpa memikirkan komitmen yang akan datang. Jadi, dengan pelaburan, anda sedikit sebanyak dapat mendidik diri anda untuk berjimat. Walaupun tidak banyak, namun hasilnya berbaloi. Contohnya, anda ingin melabur RM 10 setiap bulan, itu pun sudah cukup baik.
Kenapa Perlu Melabur di Usia Muda Pula
Kebiasaannya, sesebuah pelaburan mempunyai tempoh untuk menunjukkan potensi sebenar antara 3-10 tahun. Apabila anda melabur pada usia muda, secara tidak langsung anda mempunyai risiko yang rendah kerana rata-rata umur manusia pada zaman ini boleh menjangkau sehingga 75 tahun secara statistik. Bila anda telah melabur pada usia 30 tahun, anda boleh menuai hasilnya pada umur 40 tahun dengan pulangan yang cukup memberangsangkan.
Kesimpulan
Melaburlah dengan berapa sahaja nilai yang ada ditangan anda. Sekarang ini terdapat berbagai-bagai jenis pelaburan yang sah di Malaysia. Anda hanya perlu pilih sahaja berdasarkan kesesuaian diri anda sama ada dari segi modal dan juga kepakaran. Tidak perlu lagi rasanya untuk mempertikaikan sebab kenapa perlu melabur kerana diakhir pelaburan, ianya adalah untuk kebaikan diri anda sendiri. Alhamdulillah
Sumber :Bimbinvest,Majalah Labur
Baca lagi : Tips Melabur Saham