Bismillah
Saham merupakan salah satu instrumen pasaran yang sangat popular di dunia. Di Malaysia, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) merupakan market saham terbesar yang ada di Malaysia dan mewakili pasaran saham Malaysia di peringkat antarabangsa. Oleh itu, tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis amanah saham di Malaysia?
Perbezaan Amanah Saham dan Saham
Amanah saham berbeza dengan saham. Amanah saham mempunyai risiko yang sederhana atau rendah, manakala saham pula mempunyai risiko yang sederhana atau tinggi, sesuai dengan karakter pelabur itu sendiri. Amanah saham pula diuruskan oleh sebuah badan professional yang mana setiap pelaburan yang dilaksanakan mampu menjana pulangan yang tinggi. Saham pula hanya diuruskan oleh orang persendirian dan dia bertanggungjawab sepenuhnya untuk membuat keputusan membeli sesebuah share saham. Namun begitu, keuntungan yang ditawarkan oleh saham lebih tinggi berbanding daripada amanah saham
Jenis Amanah Saham Malaysia
Secara amnya, terdapat 5 jenis dana Amanah Saham yang popular di Malaysia. Senarai dana amanah saham adalah seperti berikut :
- Amanah saham kerajaan
- Dana Ekuiti
- Dana Sekuriti Pendapatan Tetap
- Dana Seimbang
- Dana Modal Terjamin
Amanah saham kerajaan merupakan jenis amanah saham yang paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Contoh amanah saham kerajaan yang popular adalah Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan. Ciri-ciri menarik amanah saham ini adalah kebanyakannya mempunyai nilai unit yang tetap iaitu RM 1 setiap unit saham. Malah saham-saham ini diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu suatu badan professional yang akan melaburkan wang yang diterima oleh para pendeposit kepada projek projek yang mampu memberi pulangan yang lumayan.
Dana Ekuiti pula adalah dana yang secara amnya melabur kebanyakan asetnya di dalam pasaran saham. Dana jenis ini agak sesuai untuk para pelabur yang agresif kerana risiko yang tinggi dan pulangan yang diperolehi juga adalah tinggi. Keuntungan dana ini diperolehi melalui kesan kenaikan harga saham itu sendiri. Di bawah dana ekuiti terdapat beberapa jenis dana ekuiti yang berbeza. Ianya adalah untuk menepati citarasa para pelabur untuk melaburkan wang yang dimiliki. Antara contoh dana ekuiti tersebut adalah dana ekuiti umum (kebanyakan pelaburan dalam pasaran saham), dana pertumbuhan modal (fokus pada pertumbuhan modal syarikat), dana pendapatan (menyasarkan saham yang mampu memberi dividen konsisten), dana ekuiti modal kecil (fokus pada pasaran saham syarikat yang bermodal kecil) dan dana pelaburan asing.
Dana Sekuriti Pendapatan Tetap menyasarkan kepada pendapatan tetap kepada para pelabur. Ianya bersifat rendah risiko atau risiko yang sederhana dan sesuai kepada para pelabur yang konservatif. Contoh dana sekuriti pendapatan tetap adalah Bon kerajaan,Sukuk dan pasaran matawang.
Dana seimbang adalah dana yang melaburkan ke berbagai bagai sektor pelaburan seperti saham dan bon kerajaan dalam masa yang sama berdasarkan had risiko yang ditetapkan. Dana ini mempelbagaikan sumber pelaburan daripada yang berisiko rendah hingga ke berisiko tinggi.
Dan yang terakhir sekali adalah Dana Modal Terjamin. Secara amnya, pulangan dana modal terjamin ini agak rendah dan seperti namanya, Modal yang anda laburkan akan terjamin dan tidak akan berkurang. Contoh yang paling mudah adalah Fix Deposit yang ditetapkan oleh bank. Bank menetapkan tempoh seperti Fix Deposit tidak boleh dikeluarkan dalam masa 10 tahun. Dan sekiranya para pelabur ingin mengeluarkan wang kurang dari masa yang ditetapkan, maka penalti atau denda mungkin akan dikenakan.
Semoga penjelasan berkenaan jenis amanah saham ini dapat memberikan nilai tambah ilmu pengetahuan kepada para pelabur sekalian.
Alhamdulillah