Bismillah
REIT merupakan salah satu jenis stok yang sangat popular dalam kalangan Malaysia. Menurut statistik, REIT mendapat tempat ketiga dari senarai jenis saham yang ditawarkan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Namun, pasti anda tertanya-tanya mengapa REIT menjadi pilihan ramai pelabur? Artikel kali ini akan mengupas mengenai apakah itu reit.
Apakah Itu REIT
REIT (Real Estate Investment Trust) atau nama melayunya Amanah Pelaburan Hartanah merupakan satu kumpulan dana yang memiliki dan menguruskan hartanah bersifat komersial dan digunakan untuk menjana keuntungan dan diagihkan semula kepada ahli. Contoh contoh REIT adalah pusat membeli belah, kilang dan ladang-ladang.
Mengapa REIT Diminati
Secara tidak langsung, REIT memberi peluang kepada para pelabur untuk mendapatkan sebahagian daripada peluang untuk melabur di dalam hartanah komersial dengan amaun yang sedikit tanpa perlu menggunakan modal yang besar. Selain itu, saham REIT adalah mudah untuk dicairkan. Semudah beli dan jual, berbeza dengan jualan dan pembelian hartanah sebenar yang mana memakan masa dan memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, REIT juga diuruskan oleh badan-badan professional yang mahir dalam memilih dan membangunkan sesebuah hartanah komersial sekaligus memberikan kesan positif terhadap pendapatan para pelabur.
Walaupun REIT memberikan tawaran yang menarik kepada para pelabur, harus diingatkan setiap instrumen pelaburan mempunyai risikonya yang tersendiri. Antara risiko yang perlu diketahui adalah faktor pasaran. Memandangkan hartanah komersial bergantung kepada sewaan para penyewa hartanah, sekiranya kadar penyewa rendah, maka ianya akan mengganggu aliran tunai para pelabur.
Selain itu para pelabur tidak mempunyai kawalan terhadap hartanah pelaburan. Segala keputusan sama ada untuk membeli dan menjual sesebuah tanah komersial tidak memerlukan pendapat dari ahli dan para pelabur. Ianya hanya merujuk kepada keputusan mesyuarat badan professional yang ditubuhkan bagi mengendalikan portfolio pelaburan tersebut.
Kesimpulannya, diharapkan para pelabur dapat mengenali dan mengetahui apakah maksud REIT. Walaupun REIT mempunyai banyak kebaikan, namun risiko yang ditawarkan haruslah diambil kira. Semoga artikel ini dapat membantu para pembaca sekalian.
Alhamdulillah