Bismillahirrahmanirrahiim
Dewasa ini kita dapat lihat ramai anak muda sudah mula menunjukkan minat untuk belajar pelaburan saham. Lagi-lagi ketika zaman PKP, industri ini seperti terkena kejutan budaya kerana kesedaran tentang pelaburan saham melonjak secara drastik. Namun, sebagai orang makan gaji, berapakah peratus gaji untuk pelaburan saham?
Ianya penting supaya anda tidak terlalu spend terlalu banyak untuk pelaburan dan tidak melabur terlampau sedikit sehingga ROI tidak relevan. Artikel kali ini akan bantu anda untuk menentukan berapakah peratus gaji yang selayaknya untuk anda gunakan dalam pelaburan saham.
Kepentingan Menentukan Peratusan Pelaburan Saham
Dengan adanya kawalan terhadap berapa maksima anda boleh korek dari duit gaji anda untuk labur saham, anda boleh mengelakkan diri anda dari melabur ikut orang. Katakan anda tiada kawalan terhadap jumlah pelaburan anda, asalkan ada orang yang sebut stock yang hot anda pun turut berlumba untuk jump in the wagon bersama tanpa analisis yang padu.
Selain itu ia akan bantu anda membina kewangan jangka panjang yang seimbang. Anda sudah ada target bulanan yang mana ianya berbeza dengan simpanan. Walaupun pelaburan saham ini berisiko, tetapi anda sudah put aside dari sebahagian kecil sahaja dari gaji anda untuk pendapatan yang lebih lumayan pada masa akan datang.
Asas Perancangan Kewangan Sebelum Melabur
Sebelum kita bincangkan berapa peratus gaji untuk pelaburan, anda harus capai semua kriteria dibawah barulah anda terjun dalam pasaran saham.
- Simpanan kecemasan mencukupi minima 3 bulan gaji. Jika gaji bersih anda RM 2,500, maka dalam bank anda ada RM 7500. Duit kecemasan ini ada masukkan sahaja dalam fix depo. Sekarang fix depo ada short tem fix depo contoh 3 bulan, 1 bulan pun ada. Jadi jangan risau, anda boleh keluarkan wang seperti biasa tetapi anda dapat keuntungan. Best kan?
- Hutang yang terkawal. Anda hanya labur dengan lebihan wang, bukan wang yang ada untuk bayar sewa rumah dan sebagainya.
- Sudah ada takaful. Paling cikai adalah hibah atau insurans kematian. Medical card, jika mampu ambil, kalau tidak, tidak perlu. Kita masih ada hospital kerajaan.
- Faham saham ada risiko. Namun bila anda gunakan lebihan wang, ianya tidaklah stress kan kepala anda.
Prinsip: “Melabur hanya dengan duit yang sanggup rugi tanpa jejaskan kehidupan harian.”
Jadual Peratus Gaji Untuk Pelaburan
Berikut adalah cadangan berapa peratus yang sesuai untuk anda gunakan bagi kegunaan pembelian saham anda. Sila sesuaikan dengan gaji anda. Paling senang, tolak semua komitmen siap-siap dan jika ada lebihan, itulah yang boleh digunakan untuk pelaburan.
| Jenis Pelabur | Tahap Risiko | Cadangan Peratus Gaji untuk Saham | Catatan |
|---|---|---|---|
| Konservatif (berhati-hati) | Rendah | 5–10% | Fokus saham dividen atau ETF patuh Syariah |
| Sederhana (balanced) | Sederhana | 10–20% | Campuran saham & unit trust/REIT |
| Agresif (berani ambil risiko) | Tinggi | 20–40% | Fokus growth stocks, sektor teknologi, atau trading jangka pendek |
Contoh Pengiraan Mudah
Contoh individu berpendapatan RM4,000 sebulan:
- Simpanan & perbelanjaan tetap: RM2,500
- Simpanan kecemasan: RM500
- Baki pelaburan: RM1,000
Jika ambil pendekatan 20% gaji, maka:
RM4,000 × 20% = RM800 sebulan untuk pelaburan saham.
Boleh diagihkan:
- RM400 → saham dividen (contoh: Maybank, Tenaga)
- RM200 → saham pertumbuhan (growth stocks)
- RM200 → simpanan tunai/duit standby
Tips Praktikal Untuk Urus Pelaburan Bulanan
Selepas anda ketahui jumlah am duit yang boleh digunakan untuk melabur, terus transfer duit tersebut ke dalam akaun trading atau akaun unit trust anda. Dalam akaun tersebut, anda bukan terus beli saham, anda cuma park dahulu duit di dalam akaun tersebut.
Oleh itu anda akan konsisten untuk mengumpul peratus gaji untuk pelaburan saham anda. Bukan setiap bulan anda akan membeli saham. Jadi, tunggu sehingga ada saham yang betul-betul murah, yang berkualiti dan sedang mengalami kejatuhan harga, baru anda sauk. Anda juga boleh elakkan kos transaksi yang tinggi jika melakukan pembelian dengan kerap.
Kesimpulan
Saya telah menerangkan kepada anda tentang berapa peratus gaji untuk pelaburan saham anda. Secara amnya tiada angka ajaib yang sesuai untuk semua orang. Ianya lebih kepada ukur baju di badan sendiri. Ada duit lebih, labur, kalau tiada tidak perlu labur. Panduan diatas adalah panduan umum sahaja, namun jika ada orang yang bertanya pada saya, saya akan berikan panduan am sahaja iaitu ambil 10% sahaja dari gaji untuk labur.
“Mulakan kecil, tapi konsisten. 10 tahun dari sekarang, anda akan berterima kasih pada diri sendiri kerana mula hari ini.”

