Bismillahirrahmanirrahim
Pasaran modal islam merupakan pasaran yang bergerak selari dengan pasaran konvensional di Malaysia. Malah ia mempunyai jumlah dana terbesar berbanding pasaran konvensional. Oleh itu, saya akan mengupas tentang apa itu pasaran modal islam, prinsip syariah, keperluan patuh syariah serta elemen islam di dalam instrument pelaburan.

Apa itu Pasaran Modal Islam
Ianya merujuk kepada apa-apa aktiviti didalam pasaran modal sama ada transaksi, operasi dan sebagainya tidak melanggar hukum dan prinsip Syariah.
Apakah itu Prinsip Syariah
Prinsip syariah adalah terpakai terhadap mana-mana struktur instrumen pasaran modal islam dalam memastikan kehendak atau keperluan syariah selari dengan prinsip dan hukum syariah.
Senarai Keperluan Patuh Syariah Dalam Pelaburan
Terdapat empat perkara asas yang perlu dipatuhi untuk sesebuah instrument boleh dikategorikan sebagai patuh syariah. Empat elemen tersebut adalah seperti berikut :
- Riba : Tiada konsep riba yang diterapkan dalam instrument tersebut. Dalam erti kata lain, tiada bayaran faedah atau interest yang dikenakan yang mana ia sangat bertentangan dengan hukum syarak.
- Gharar : Ia bermaksud ketidaktentuan yang melampau lampau. Contohnya adalah seperti membeli seekor anak lembu yang belum dilahirkan. Disini terdapat berbagai bagai ketidak tentuan sama ada saiznya, kesihatan lembu yang bakal dilahirkan dan sebagainya.
- Maisir : Tiada unsur perjudian ataupun spekulasi yang melampau. Contohnya adalah anda membeli sesuatu aset atau sekuriti tanpa mengetahui secara am apakah yang anda beli . Anda hanya bertaruh kepada nasib untuk mendapatkan keuntungan dari pembelian tersebut.
- Produk atau Servis Yang Tidak Dibenarkan. Antara contohnya adalah seperti membuka kelab malam ataupun menjual arak.
Konsep Islam dan Prinsip Yang Berkaitan Dengan Instrument Pasaran Modal
Terdapat 8 jenis konsep atau prinsip yang diterapkan didalam pasaran modal Islam. Senarainya adalah seperti berikut :
- Ijarah : Pemilik aset menyewakan aset kepada penyewa pada kadar sewaan yang dipersetujui. Milikan aset sentiasa kekal dibawah pemilik aset.
- Istisna’ : Kontrak pembelian yang mana pembeli memerlukan penjual menghantar aset tersebut pada masa akan datang berdasarkan kriteria yang diberikan bersama dengan bayaran yang dipersetujui antara mereka
- Mudharabah : Kontrak antara 2 pihak untuk melakukan perniagaan. Ianya terdiri daripada pemberi modal dan juga usahawan.
- Murabahah : Pembelian dan penjualan aset yang disertakan dengan nilai kos serta keuntungan yang diketahui antara kedua pihak
- Musyarakah : Satu perkongsian antara dua tau lebih pihak yang perlu menyumbangkan modal dalam perniagaan yang ingin mereka lakukan.
- Wakalah : Kontrak yang mana seorang pihak memberi kuasa kepada pihak lain yang bertindak sebagai wakil berdasarkan persetujuan yang dibuat berdasarkan syarat yang telah ditetapkan.
- Bai’ As Salam : Pembelian dan penjualan yang mana bayaran penuh telah dibuat namun barangan yang diniagakan akan dihantar pada tarikh yang telah ditetapkan
- Bai’ ‘Inah : Satu kontrak penjualan dan pembelian semula oleh penjual (sale with repurchase)
Kesimpulan
Secara ringkasnya, pasaran modal islam merupakan pasaran yang menerapkan nilai patuh syariah dalam mana-mana instrumen pasaran modal. Dengan adanya peraturan yang sedemikian, umat islam di Malaysia boleh menikmati untuk melaburkan duit mereka dalam pasaran modal tanpa rasa ragu-ragu dan bersalah. Diharap artikel ini dapat membantu anda semua dalam memahami konsep pasaran modal islam secara amnya. Sekian terima kasih.
Rujukan
- Nota eFPMR
Baca juga : Apa itu Alpha Indicator