Bismillahirrahmaanirrahiim
Sebagai seorang muslim, mencari halal itu adalah fardhu dan wajib bagi mereka untuk mendapatkan keuntungan pelaburan yang diredhai disisi ALLAH SWT. Tidak terlepas juga untuk kita ketahui apakah hukum unit trust dari pandangan Islam. Artikel ini akan menjawab persoalan tersebut dan diharap ianya dapat bantu umat islam dalam memilih produk yang patuh syariah.
Bagaimana Untuk Memastikan Unit Trust Tersebut Harus dan Halal
Sebelum kita rungkaikan mengenai hukum unit trust, mari kita lihat dahulu bagaimana agama Islam menggariskan sesuatu pelaburan itu sebagai patuh syariah. Terdapat empat kriteria yang akan dilihat bagi memastikan sesuatu pelaburan itu halal atau harus, tidak kiralah apa instrumentnya, asalkan menepati kehendak daripada empat faktor ini.
- Tiada unsur Gharar
- Tiada Unsur Riba
- Tiada Unsur Maisir
- Tidak menjual barangan yang haram disisi Islam.
Sesebuah unit trust haruslah jelas dan nyata transaksi pembeliannya. Ia bermaksud tiada kekeliruan ketika pelabur mendapatkan maklumat tentang produk pelaburannya. Contohnya, Ahmad ingin membeli unit amanah pada harga RM 0.50 dengan modal sebanyak RM 1,000. Maka Ahmad berhak untuk mendapat sebanyak 2,000 unit daripada hasil pembelian tersebut. Jika Ahmad tidak mendapat 2,000 unit seperti yang diharapkan, ianya bermaksud adanya unsur gharar atau ketidakpastian dalam urusan jual beli.
Sesebuah pelaburan juga seharusnya tiada unsur riba. Biasanya pelaburan dari jenis surat hutang selalunya terlibat dengan riba, seperti Bon pinjaman kerajaan atau swasta. Pihak peminjam haruslah membayar bunga kepada pemberi pinjam dan sesungguhnya amaran Riba ini telah dititik beratkan didalam Islam dan seharusnya kita sebagai Muslim haruslah menjauhi Riba.
Semestinya di dalam pelaburan tersebut tiada unsur perjudian. Memandangkan unit trust merupakan satu bentuk CIS, maka harus dipastikan bahawa tiada didalam pegangan aset pelaburan dana tersebut terlibat dengan pelaburan berunsurkan perjudian seperti pemilikan saham dari syarikat Magnum iaitu, pengendali nombor ekor terbesar di Malaysia.
Terakhir pelaburan tersebut tidak melibatkan benda benda yang haram seperti arak, rokok serta makanan berasaskan khinzir. Perkara ini boleh dielakkan dengan mudah andai kita semua amat sensitif dengan pegangan pelaburan yang ada dalam unit amanah.
Hukum Unit Trust
Amnya, hukum unit trust mempunyai dua bahagian iaitu haram dan juga harus. Biasanya kebanyakan syarikat pengurusan unit amanah telah mengkategorikan unit trust tersebut kepada dua bahagian iaitu konvensional dan patuh syariah. Unit trust yang jatuh pada kategori konvensional bermaksud dana tersebut digunakan untuk dilaburkan ke dalam pelaburan pelaburan tidak patuh syariah seperti pembelian Bon Kerajaan ataupun melaburkan dalam kaunter yang tidak patuh syariah.
Berbeza dengan unit amanah patuh syariah, ianya mempunyai elemen tambahan iaitu bahagian pematuhan syariah yang dilantik bagi memastikan dana tersebut dilaburkan di dalam pelaburan pelaburan yang menepati standard pematuhan syariah. Oleh itu umat Islam tidak perlu ragu untuk membeli unit trust yang telah dilabel dengan patuh syariah kerana proses untuk mendapatkan standard pematuhan tersebut adalah cukup ketat.
Panel pematuhan syariah dana unit amanah tersebut boleh dilihat di dalam Prospektus dana tersebut. Jadi, jika anda semua masih ragu-ragu, boleh rujuk perkara tersebut terus ke dalam prospektus. Prospektus adalah dokumen yang menggariskan semua maklumat serta operasi pelaburan sesuatu dana dan ianya harus dipatuhi oleh semua pihak.
Kesimpulan
Saya telah menerangkan tentang hukum unit trust iaitu terdiri daripada yang halal dan juga yang haram. Oleh itu, sebagai seorang Muslim, anda haruslah melabur dalam unit trust yang dilabel sebagai patuh syariah. Bagi memudahkan pelabur Muslim, kebanyakan syarikat telah meletakkan label label seperti Islamic ataupun Syariah di dalam nama Dana tersebut bagi membantu pelabur muslim mengenal pasti dengan lebih cepat adakah dana tersebut halal ataupun tidak. Sekian terima kasih.
Sumber : Nota eFPMR, CUTE
Baca lagi : Perbezaan ASB dan Unit Trust