Bismillahirrahmanirrahim
Bursa Saham Malaysia ataupun Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) merupakan satu-satunya tempat dimana semua saham yang diniagakan akan dipaparkan. Oleh itu, untuk memaparkan semua saham-saham syarikat tersebut terdapat tiga jenis papan bursa saham malaysia yang mempunyai karakteristiknya yang tersendiri. Mari kita lihat apakah karakteristik papan-papan bursa tersebut.
3 Jenis Papan Bursa Saham Malaysia
Secara amnya, jenis-jenis papan bursa tersebut adalah seperti berikut:
- Papan Utama
- Papan Ace
- Papan Leap
Papan Utama Bursa Saham Malaysia
Papan ini merupakan papan yang menyenaraikan kesemua syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai modal yang sangat besar. Pada Ogos 2009, papan utama ini telah menggabungkan senarai syarikat yang terdapat dalam papan utama dan papan kedua menjadi satu papan. Antara syarikat yang disenaraikan dibawah Papan Utama Bursa Saham Malaysia adalah DRB Hicom dan Ajinomoto.
Pemilihan syarikat untuk disenaraikan ke dalam Papan Utama adalah sangat ketat. Terdapat garis panduan yang perlu diikuti dan sekiranya syarikat tersebut berjaya memenuhi keperluan tersebut, maka saham syarikat tersebut akan disenaraikan ke dalam Papan Utama. Kriteria yang perlu dimiliki oleh syarikat yang ingin disenaraikan di Papan Utama adalah seperti berikut.
- Keuntungan yang konsisten dari 3 hingga 5 tahun
- Keuntungan secara agregat selepas cukai tidak kurang RM 20 juta
- Keuntungan setiap tahun selepas cukai mesti melebihi RM 6 juta
- Keuntungan berdasarkan kepada perniagaan teras
- Market CAP melebihi RM 500 juta sewaktu saham disenaraikan
- Mempunyai rekod pendapatan operasi selama 1 tahun
- Memiliki hak membina projek infrastruktur dalam atau luar negara yang bernilai RM 500 juta ke atas
- Lesen projek infrastruktur tersebut haruslah mempunyai tempoh sekurang-kurangnya 15 tahun
Jika anda lihat senarai saham di dalam akaun CDS anda, kebiasaannya kaunter yang disenaraikan di papan utama akan ditulis menggunakan warna cyan.
Papan Ace Bursa Malaysia
Ace bermaksud Access, Certainty and Efficiency ataupun dahulunya dikenali sebagai MESDAQ. Ianya merupakan papan yang menyenaraikan syarikat yang berteknologi kecil dan mempunyai kadar prospek pertumbuhan yang baik. Antara syarikat yang terdapat di papan ace bursa malaysia adalah KRONO dan OPCOM. Kaunter yang tersenarai di dalam Papan Ace biasaya ditulis menggunakan warna ungu.
Papan LEAP
LEAP bermaksud Leading, Entrepreneur, Accelerate, Platform. Ianya papan yang memberikan SME atau syarikat syarikat lain akses kepada dana yang lebih besar. Hanya pelabur bertaraf sofistikated sahaja yang layak untuk membeli saham dari papan LEAP ini. Ciri-ciri pelabur sofistikated adalah:
- Pelabur berpendapatan tinggi
- Aset melebihi RM 3 juta, tidak termasuk rumah utama mereka
- Mempunyai pendapatan RM 300,000 setahun secara peribadi atau RM 400,000 secara berpasangan.
Selalunya kaunter di bawah Papan LEAP akan ditulis dengan menggunakan warna kuning.
Kesimpulannya, setiap papan memberikan kekuatan syarikat yang berbeza-beza. Papan utama menyenaraikan syarikat yang kukuh dan mempunyai risiko yang rendah sekiranya didagangkan, manakala papan Ace menyenaraikan syarikat yang sederhana kukuh tapi mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih besar berbanding papan utama. Oleh itu, pilihan kaunter adalah di tangan para pelabur.